Tuesday, August 10, 2010

QANAAH VS TAMAK

MAHMUDAH MAZMUMAH
QANAAH TAMAK
Qanaah menurut definisi Kamus Dewan ialah sikap berpada-pada,iaitu berpuas hatidengan apa yang ada. Dengan erti kata lain,qanaah bererti redha dengan pemberian Allah berupa rezeki dan tidak meminta lebih daripada yang telah diberikan. Orang tamak selalu rugi, Peribahasa ini banyak benarnya. Itulah apa yang berlaku apabila hati dihuni sifat tamak. Dunia dikejar separuh mati hingga akhirat berciciran.
Rasullullah s.a.w. ialah manusia yang paling tebal sifat qanaah dalam jiwanya. Baginda bersabda yang bermaksud:``Aku di dunia ibarat musafir yang berteduh di bawah sebatang pokok, berehat dan meninggalkannya.”(riwayat al-tirmizi no.2377) Tamak bermula apabila lahir kemahuan tanpa had. Orang yang tidak berpuas hati dengan sesuatu yang sedikit biasanya tidak akan berpuas hati walaupun banyak.
Ciri-ciri qanaah
• Selalu mengucapkan ``Alhamdulillah `ala kulli hal” atas setiap nikmat dan musibah.
• Jarang merungut
• Redha dengan segala ketentuan
• Sentiasa berbaik sangka dengan Allah s.w.t.
• Sentisa bersikap positif
• Tidak berputus asa.
• Berpuas hati dengan sesuatu yang sedikit.
• Meminta kepada Allah dan kemudian bertawakal
Anas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:``Jika anak adam memiliki satu lembah emas, pasti dia akan mencari agar menjadi dua lembah. Dan tidak ada yang akan menutup mulut melainkan tanah. Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.”(riwayat al-Bukhari no. 6075)
Daripada Hakim bin Hizam r.a. sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud:``Sesiapa yang mengambilnya(harta) itu dengan jiwa serakah, maka tiadalah barakah Tuhan dalam harta tadi. Ia umpama seseorang yang makan, namun tidak pernah kenyang.”(Muttafaq `alaih)
Bagaimana membina qanaah
• Memahami konsep qadak dan qadar Allah s.w.t
• Beriman bahawa Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya, bahkan kitalah sebagai hamba yang sering menganiaya diri sendiri.
• Sematkan syukur, pasti qanaah akan menyusul kemudian.
• Selalu berdoa kepada Allah s.w.t.
• Hitung nikmat yang Allah kurniakan.
• Berfikir tentang makhluk Allah yang telah disediakan sebagai taskhir(kegunaan) kepada manusia. Usir tamak
• Arahkan tamak anda kepada ``tamak yang positif” seperti tamak mengejar pahala. Contohnya adalah merebut solat berjemaah berbanding solat berseorangan(27 kali ganda pahala)
• Cari penawar bagi sifat tamak anda. Contohnya,ingatlah selalu bahawa segala yang dimiliki sama ada harta, kesihatan, kecantikan adalah milik Allah dan bersifat fana(tidak kekal)
• Latih diri bersyukur
• Elakkan mencari kemewahan dunia hingga melalaikan tuntutan Allah
• Jadikan dunia sebagai jambatan untuk akhirat kelak.
Qanaah lahir daripada beberapa set sifat mahmudah. Alangkah indahnya wajah seorang Muslim yang selalu tersenyum tanpa keluh kesah. Itulah qanaah, antara rahsia hidup bahagia. Berapa ramai orang kaya yang kita lihat tidak pernah berasa cukup dengan kekayaan bertimbun yang mereka miliki. Bahkan, ramai juga golongan berpendapatan sederhana yang sentiasa berasa cukup dengan sedikit rezeki yang mereka miliki. Subahanallah!
Pandanglah dengan mata hati bahawa kekayaan yang sebenar bukan pada hati malah kekayaan yang hakiki ialah kaya jiwa.(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment