Saturday, August 3, 2013


Apakah GIGO? GIGO ni amat penting dalam kehidupan kita sebagai hamba ALLAH yang sentiasa inginkan kebahagiaan dalam  hidup. Dimana letaknya kebahagiaan hidup sebagai seorang hamba di atas muka bumi ini? Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza. Kebahagiaan masing-masing juga terletak pada cara yang berbeza. Namun sedarkah kita dalam mencari kebahagiaan itu perlu disertakan dengan redha. Apa yang kita lakukan jika disertakan dengan redha ALLAH maka kita akan bahagia dan yang paling penting redha ALLAH terletak pada redha ibu bapa. Jadi jangan sesekali membelakangkan ibu bapa dalam membuat keputusan.
Garbage In Garbage Out atau akronimnya GIGO amat penting dalam kehidupan kita. Kalau diterjemahkan secara terus maka maksudnya masuk sampah keluar sampah. Tetapi maksud yang cuba saya sampaikan di sini adalah sekiranya input tidak elok maka output yang dihasilkan juga tidak elok. Semalam sempat saya membaca buku Pendidikan Anak-anak tulisan Saedah Siraj yang mementingkan Pendidikan Anak-anak menurut Islam. Tidak mudah ya ingin mendidik anak-anak, namun tidak sesukar mana jika kena acuannya. Ramai ibu bapa hari ini yang membesarkan anak-anak mereka bersama-sama syaitan. Kenapa saya cakap macam tu? Amboi sesedap rasa saja kan cakap mcm tu. Namun sedarlah bahawa untuk melahirkan anak-anak yang sempurna imannya bermula daripada diri ibu bapa itu sendiri.
Luqman Al-Hakim pernah menyebut "Aku mendidik anak-anakku 20 tahun sebelum mereka dilahirkan". Jadi bermula daripada pemilihan calon pasangan yang beriman akan menentukan hidup anak-anak sangat penting. Ya memang benar, IMAN TAK BOLEH DIWARISI dan AMAT MUSTAHIL JIKA IMAN BOLEH DIWARISI namun IBU BAPA ADALAH MODEL KEPADA ANAK-ANAK, yang menjadikan seperti iman itu diwarisi namun disebabkan asuhan ibu bapa yang sempurna maka lahirlah anak-anak yang sempurna imannya. Terdapat sebuah hadis yang menyatakan :
"Sebaik-baik perkara yang diwariskan para ibu bapa kepada anak-anak adalah adab (percakapan dan perbuatan yang baik)"
Rasulullah juga pernah bersabda,
"Tidak ada seorang pun yang dilahirkan kecuali dilahirkan di atas fitrah maka ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi"
Maksudnya di sini ibu bapa yang melatih anak dan mencorakkan kehidupan anak-anak seperti mana yang mereka mahukan. Oleh itu, ibu bapa perlu menjaga akhlak, personaliti dan ketrampilan diri kerana anak-anak yang dilahirkan ibarat kain putih yang mana jika ibu bapa tidak mencorakkan dengan baik maka persekitaran lain akan mencorakkan anak-anak yang mungkin akan menjadi tidak baik.
Jika kita lihat hari ini, ramai ibu bapa yang terlalu sibuk urusan di luar rumah sehingga mengabaikan kasih sayang kepada anak-anak di rumah yang menyebabkan anak-anak terjebak dengan perkara-perkara yang tidak elok (semata-mata mahukan perhatian ibu bapa).
Apabila berbincang mengenai soal didikan kepada anak-anak soal makanan yang diberikan kepada anak-anak tidak boleh dilupakan. Dari mana sumber makanan atau pendapatan yang diberikan kepada anak-anak kita. Adakah dari sumber yang halal atau syubhah? Makanan yang dimakan ni akan dibawa kemana-mana tau sebab akan bercampur dengan darah dalam badan kita (jadi daging).
Teringat satu dialog dengan kawan.
Tak ingat topik perbincangan kami, yang saya ingat dia kata, "Jom saya belanja awak makan. Hadiah la tu. Awak akan bawa hadiah tu kemana-mana, mungkin juga sampai mati".
Tapi pastikan hadiah yang diberi tu dari sumber yang halal ya. Jangan buat aniaya kat orang, kita juga yang akan disoal nanti kerana menjamu orang lain dengan makanan yang hasilnya dari sumber yang syubhah atau tidak halal. Nauzubillah.
Beri makan anak ni bermula sejak hari pertama anak dilahirkan. SUSU IBU.Halal ke susu ibu ni? InsyaALLAH halal jika sumbernya halal. Sebab apa saya cakap macam tu? Sebabnya kalau si ibu makan makanan yang haram, susu ibu yang diberikan kepada anak-anak akan mempengaruhi perangai dan sikap anak apabila mereka besar nanti kerana sumber makanan yang diberikan berasal daripada sumber yang haram dan diragui.
Itulah pentingnya GIGO. Garbage In Garbage Out. InsyaALLAH ibu bapa yang baik akan melahirkan anak-anak yang baik. Tapi nanti ada pula orang cakap, habis macam mana anak Tok Imam terlibat dengan maksiat? Huh,siapa nak jawab tu?
Jawabnya, bukan salah ibu mengandung. Itu sebab mereka yang hanyut dengan nafsu kerana janji syaitan dan iblis untuk menyesatkan manusia di muka bumi kerana syaitan tak pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia . Jadi, kita yang waras ni. Pilihlah JALAN yng kita mahukan.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Terima kasih sahabatku untuk segalanya. Memang benar kata hatiku, kau hanya tetamu hatiku yang datang dan pergi begitu sahaja.
Maaf andai kata aku tersilap mencongak pada nilai kejujuran dan berterus terang. Sesungguhnya kau lah sahabat yang menunjuk jalan padaku tanpa sedarmu. Duhai sahabatku, dunia kita memang berbeza tetapi hidup kita seakan sama.
Kita mencintai ilmu dan itulah yang mendekatkan hatiku padamu. Aku dambakan perubahan positif dalam diri ini dan kita seiring sejalan mula berubah menjadi lebih baik. Perubahan inilah yang dituntut kerana tiada manusia yang sempurna hidupnya. Kehidupan sederhana dan dilingkumi ukhuwah yang terbina menjadikan hidup sangat bermakna.
Terima kasih kerana menyedarkan hakikat silaturahim itu. Malah kebahagiaan yang dicari sebenarnya tergumpal dalam hati melalui keimanan. Iman yang memberikan sumber inspirasi untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur dan tidak putus asa. Jika iman yang setipis kulit bawang ini tidak dijaga mungkin setiap insan akan tersasar dalam hidup hingga jauh daripada keberkatan Ilahi.
Jalinan ukhuwahmu membuatkan aku teringat pada bait-bait ayat ini.
"Duhai wanita, jagalah pandanganmu dan tundukkanlah hatimu dengan rasa keimanan yang teguh kepada Allah swt. Janganlah kau menyalahkan takdir atas perkara yang kau tidak sukai namun sebaliknya bersangka baiklah pada Tuhan sekalian alam. Mungkin apa yang disukai olehmu tidak menjanjikan kebaikan padamu dan mungkin yang kau tidak sukai itulah yang menjadi perkara terbaik bagimu."
Dua dunia yang berbeza diikat dengan satu kata, UKHUWAH atau persaudaraan Islam. Ada mulanya dan tiada penghujungnya, seperti seutas tasbih yang diikat kerana kasih sayang dan diratib demi mencapai redhaNya. Itulah kata-kata azimat yang akan ku pegang selamanya. Ukhuwah yang didasari kerana Allah s.w.t akan menjadi suatu ukuran terbaik dalam perhubungan. Maka aku berharap persaudaraan sesama Islam akan terus mekar tanpa henti. Hal ini sangat bersesuaian dengan penjelasan nabi junjungan kita Nabi Muhammad saw iaitu :
"Di sekeliling Arsy terdapat mimbar-mimbar dari cahaya yang ditempati oleh suatu kaum yang berpakaian dan berwajah (cemerlang) pula. Mereka bukanlah para nabi atau syuhada, tetapi nabi dan syuhada merasa iri terhadap mereka."
Para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami tentang mereka." Baginda menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai, bersahabat, dan saling mengunjungi kerana Allah swt." (HR Nasa'i dari Abu Hurairah Radiallahu 'anhu)
Dengan itu walaupun kita sudah semakin jauh mengorak langkah menuju destinasi berlainan, aku akan tetap menganggap dirimu sebagai sahabat terbaikku.
Akhir kata, andai kita bertemu lagi, janganlah kau kenang perkara yang tidak baik tentang aku tetapi kenanglah perkara yang indah tentang kita. Apabila kita mulakan hidup baru, itu tidak bermakna memori lama akan terhapus tetapi ianya akan menjadi sebahagian kehidupan kita yang hakiki. Hakikat sebuah pertemuan yang manis dan akan kekal begitu.
Apapun terima kasih Ya Allah kerana menemukan aku dengan dia walaupun seketika. Selamat tinggal sahabat. Moga kau menemui pencarianmu...



Ibuku selalu bertanya padaku apa bahagian tubuh yang paling penting.
Bertahun-tahun, aku selalu meneka dengan jawapan yang aku anggap benar.
Ketika aku muda, aku fikir suara adalah yang paling penting bagi kita sebagai manusia, jadi aku jawab, "Telinga, Bu."
Jawab Ibuku, "Bukan. Ramai orang yang tuli. Tapi, teruslah memikirkannya dan aku menanyakanmu lagi nanti."
Selang beberapa tahun kemudian, dia bertanya padaku lagi. Sejak jawapan pertama, kini aku yakin jawapan kali ini pasti benar.
Jadi, kali ini aku mengatakan, "Bu, penglihatan sangat penting bagi semua orang, jadi pastilah mata kita."
Dia memandangku dan berkata, "Kamu belajar dengan cepat, tapi jawapanmu masih salah kerana ramai orang yang buta."
Gagal lagi, aku meneruskan usahaku mencari jawapan baru dan dari tahun ke tahun, Ibu terus bertanya padaku beberapa kali dan jawapannya selalu, "Bukan. Tapi, kamu semakin pandai dari tahun ke tahun, anakku."
Akhirnya tahun lalu, datokku meninggal. Semua keluarga bersedih. Semua menangis.
Bahkan, ayahku menangis. Aku mengingatinya kerana itulah saat kedua kalinya aku melihatnya menangis.
Ibuku memandangku ketika tiba giliranku untuk mengucapkan selamat tinggal pada datok.
Dia bertanya padaku, "Apakah kamu sudah tahu apa bahagian tubuh yang paling penting, sayang?"
Aku terkejut ketika Ibu bertanya pada saat seperti ini. Aku sering berfikir, ini hanyalah permainan antara Ibu dan aku.
Ibu melihat tanda kebingungan diraut wajahku dan memberitahu, "Pertanyaan ini penting. Ini akan menunjukkan padamu apakah kamu sudah benar-benar "hidup".
Untuk semua bahagian tubuh yang kamu beritahu padaku dulu, aku selalu berkata kamu salah dan aku telah memberitahu kamu kenapa.
Tapi, hari ini adalah hari di mana kamu harus belajar pelajaran yang sangat penting."
Dia memandangku dengan wajah keibuan. Aku melihat matanya penuh dengan airmata.
Dia berkata, "Sayangku, bahagian tubuh yang paling penting adalah bahumu."
Aku bertanya, "Apakah kerana fungsinya untuk menahan kepala?"
Ibu membalas, "Bukan, tapi kerana bahu dapat menahan kepala seorang teman atau orang yang kamu sayangi ketika mereka menangis.
Kadang-kadang dalam hidup ini, semua orang perlu bahu untuk menangis.
Aku cuma berharap, kamu punya cukup kasih sayang dan teman-teman agar kamu selalu mempunyai bahu untuk menangis bila- bila pun kamu memerlukannya."
Akhirnya, aku tahu, bahagian tubuh yang paling penting adalah tidak menjadi orang yang mementingkan diri sendiri.
Tetapi, simpati terhadap penderitaan yang dialami oleh orang lain.
Orang akan melupakan apa yang kamu katakan.
Orang akan melupakan apa yang kamu lakukan.
Tetapi, orang tidak akan pernah lupa bagaimana kamu membuat mereka bererti.
Just because the past is painful, Doesn't mean the future will be. So never let events from the past,
Change the events for future, or You will be miserable forever…



Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Alhamdulilah gaji ku masuk jua akhirnya. Inilah kali pertama aku bekerja selepas menamatkan pengajian. Aku sudah niat gaji yang pertama ku ini akan akan aku sedekahkan untuk rumah anak-anak yatim.
Selama berbulan, aku masih belum mempunyai kesempatan untuk pergi ke rumah anak yatim yang memang hati ini mendambakan untuk berbakti di sana.
Aku berdoa kepada Allah supaya aku dapat pergi ke rumah mereka. Bagi ku anak yatim juga adalah tanggungjawab kita. Aku ingin menyayangi mereka seperti keluarga ku sendiri. Hati ini terpanggil untuk pergi ke sana. Di kampus dulu, dapat aku melihat keletah mereka semasa program anak yatim. Sekarang sejak bekerja, aku masih belum dapat menyusun jadual bertemu mereka. Aku berdoa moga Allah mempertemukan aku dengan mereka. Aku ingin  menyayangi mereka. Malah, Bukhari meriwayatkan:
Daripada Sahl bin Sa'ad R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Maksudnya: "Aku dan orang yang menyantuni anak yatim kelak di Syurga seperti ini," lalu memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah dengan sedikit merenggangkannya. [Riwayat al-Bukhari no 5304]
Pada petang Jumaat, pintu rumah ku di ketuk. Ada seorang budak lelaki berbaju melayu putih umur dalam lingkungan 10 tahun datang. Ibu ku pantas keluar. Aku hanya memandang dari dalam, hatiku dapat merasakan seolah-olah  anak itu datang untuk mengutip derma. Ya Allah... Aku bersyukur kepadamu. Aku terus mencapai wang kertas yang ku simpan erat di genggaman tangan ku.
Ibu terus muncul di depan pintu, "Kasihan anak yatim tadi jauh datang dari selatan tanah air katanya rumah anak yatim mereka baru dibuka, mereka memerlukan kelengkapan untuk keperluan asas," kata ibuku. Aku lantas memberikan ibuku wang kertas tersebut.
Ibuku lantas memberikan kepada anak yatim tersebut. Anak yatim tersebut memberikan pula sekeping CD himpunan surah-surah lazim dari bacaan Ustaz Kazim Elias. Aku bersyukur Ya Allah... Alhamdulilah kerana mendengar isi hatiku ini. Hajat ku tercapai jua akhirnya. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Hati ini berdetik aku tinggal di barat tanah air sedangkan anak yatim tadi dari selatan tanah air. Ya Allah. Maha Besar.
Mengenang kembali setiap perkara yang berlaku. Setiap apa yang kita lahirkan dan sembunyikan dalam hati ini. Tiada apa pun yang tersembunyi oleh Allah. Allah Maha Melihat dan  Maha Mendengar setiap  yang terbuku di hati ini. Oleh itu, kita haruslah sentiasa berdoa memohon kepada Allah. Beritahulah segala isi hati kita kepada Yang Maha Mencipta. Moga kita sentiasa di dalam rahmat kasih sayang-Nya.

"Segala yang ada di langit dan bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu sembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."  (Surah Al-Baqarah: 284)