Hari berganti hari. Bulan
berganti bulan. Alhamdulilah gaji ku masuk jua akhirnya. Inilah kali pertama
aku bekerja selepas menamatkan pengajian. Aku sudah niat gaji yang pertama ku
ini akan akan aku sedekahkan untuk rumah anak-anak yatim.
Selama berbulan, aku masih
belum mempunyai kesempatan untuk pergi ke rumah anak yatim yang memang hati ini
mendambakan untuk berbakti di sana.
Aku berdoa kepada Allah supaya
aku dapat pergi ke rumah mereka. Bagi ku anak yatim juga adalah tanggungjawab
kita. Aku ingin menyayangi mereka seperti keluarga ku sendiri. Hati ini
terpanggil untuk pergi ke sana. Di kampus dulu, dapat aku melihat keletah
mereka semasa program anak yatim. Sekarang sejak bekerja, aku masih belum dapat
menyusun jadual bertemu mereka. Aku berdoa moga Allah mempertemukan aku dengan
mereka. Aku ingin menyayangi mereka. Malah, Bukhari meriwayatkan:
Daripada Sahl bin Sa'ad R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: "Aku dan orang yang menyantuni anak yatim kelak di Syurga
seperti ini," lalu memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah
dengan sedikit merenggangkannya. [Riwayat al-Bukhari no 5304]
Pada petang Jumaat, pintu rumah
ku di ketuk. Ada seorang budak lelaki berbaju melayu putih umur dalam
lingkungan 10 tahun datang. Ibu ku pantas keluar. Aku hanya memandang dari
dalam, hatiku dapat merasakan seolah-olah anak itu datang untuk mengutip
derma. Ya Allah... Aku bersyukur kepadamu. Aku terus mencapai wang kertas yang
ku simpan erat di genggaman tangan ku.
Ibu terus muncul di depan
pintu, "Kasihan anak yatim tadi jauh datang dari selatan tanah air katanya
rumah anak yatim mereka baru dibuka, mereka memerlukan kelengkapan untuk
keperluan asas," kata ibuku. Aku lantas memberikan ibuku wang kertas
tersebut.
Ibuku lantas memberikan kepada
anak yatim tersebut. Anak yatim tersebut memberikan pula sekeping CD himpunan
surah-surah lazim dari bacaan Ustaz Kazim Elias. Aku bersyukur Ya Allah...
Alhamdulilah kerana mendengar isi hatiku ini. Hajat ku tercapai jua akhirnya.
Kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Hati ini berdetik aku tinggal di barat
tanah air sedangkan anak yatim tadi dari selatan tanah air. Ya Allah. Maha Besar.
Mengenang kembali setiap
perkara yang berlaku. Setiap apa yang kita lahirkan dan sembunyikan dalam hati
ini. Tiada apa pun yang tersembunyi oleh Allah. Allah Maha Melihat dan
Maha Mendengar setiap yang terbuku di hati ini. Oleh itu, kita haruslah
sentiasa berdoa memohon kepada Allah. Beritahulah segala isi hati kita kepada
Yang Maha Mencipta. Moga kita sentiasa di dalam rahmat kasih sayang-Nya.
"Segala yang ada di langit dan bumi adalah kepunyaan Allah.
Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu
sembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.
Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa sesiapa
yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan (ingatlah),
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Al-Baqarah: 284)
No comments:
Post a Comment