Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Terima kasih sahabatku untuk segalanya. Memang benar kata hatiku,
kau hanya tetamu hatiku yang datang dan pergi begitu sahaja.
Maaf andai kata aku tersilap mencongak pada nilai kejujuran
dan berterus terang. Sesungguhnya kau lah sahabat yang menunjuk jalan padaku
tanpa sedarmu. Duhai sahabatku, dunia kita memang berbeza tetapi hidup kita
seakan sama.
Kita mencintai ilmu dan itulah yang mendekatkan hatiku
padamu. Aku dambakan perubahan positif dalam diri ini dan kita seiring sejalan
mula berubah menjadi lebih baik. Perubahan inilah yang dituntut kerana tiada
manusia yang sempurna hidupnya. Kehidupan sederhana dan dilingkumi ukhuwah yang
terbina menjadikan hidup sangat bermakna.
Terima kasih kerana menyedarkan hakikat silaturahim itu.
Malah kebahagiaan yang dicari sebenarnya tergumpal dalam hati melalui keimanan.
Iman yang memberikan sumber inspirasi untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur
dan tidak putus asa. Jika iman yang setipis kulit bawang ini tidak dijaga
mungkin setiap insan akan tersasar dalam hidup hingga jauh daripada keberkatan
Ilahi.
Jalinan ukhuwahmu membuatkan aku teringat pada bait-bait
ayat ini.
"Duhai wanita, jagalah pandanganmu dan tundukkanlah
hatimu dengan rasa keimanan yang teguh kepada Allah swt. Janganlah kau
menyalahkan takdir atas perkara yang kau tidak sukai namun sebaliknya bersangka
baiklah pada Tuhan sekalian alam. Mungkin apa yang disukai olehmu tidak
menjanjikan kebaikan padamu dan mungkin yang kau tidak sukai itulah yang
menjadi perkara terbaik bagimu."
Dua dunia yang berbeza diikat dengan satu kata, UKHUWAH atau
persaudaraan Islam. Ada mulanya dan tiada penghujungnya, seperti seutas tasbih
yang diikat kerana kasih sayang dan diratib demi mencapai redhaNya. Itulah
kata-kata azimat yang akan ku pegang selamanya. Ukhuwah yang didasari kerana
Allah s.w.t akan menjadi suatu ukuran terbaik dalam perhubungan. Maka aku
berharap persaudaraan sesama Islam akan terus mekar tanpa henti. Hal ini sangat
bersesuaian dengan penjelasan nabi junjungan kita Nabi Muhammad saw iaitu :
"Di sekeliling Arsy terdapat mimbar-mimbar dari cahaya
yang ditempati oleh suatu kaum yang berpakaian dan berwajah (cemerlang) pula.
Mereka bukanlah para nabi atau syuhada, tetapi nabi dan syuhada merasa iri
terhadap mereka."
Para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah, beritahukanlah
kepada kami tentang mereka." Baginda menjawab, "Mereka adalah
orang-orang yang saling mencintai, bersahabat, dan saling mengunjungi kerana
Allah swt." (HR Nasa'i dari Abu Hurairah Radiallahu 'anhu)
Dengan itu walaupun kita sudah semakin jauh mengorak langkah
menuju destinasi berlainan, aku akan tetap menganggap dirimu sebagai sahabat
terbaikku.
Akhir kata, andai kita bertemu lagi, janganlah kau kenang
perkara yang tidak baik tentang aku tetapi kenanglah perkara yang indah tentang
kita. Apabila kita mulakan hidup baru, itu tidak bermakna memori lama akan terhapus
tetapi ianya akan menjadi sebahagian kehidupan kita yang hakiki. Hakikat sebuah
pertemuan yang manis dan akan kekal begitu.
Apapun terima kasih Ya Allah kerana menemukan aku dengan dia
walaupun seketika. Selamat tinggal sahabat. Moga kau menemui pencarianmu...
No comments:
Post a Comment